Free Essay

Kisah Kejayaan Datuk Jimmy Choo

In:

Submitted By izyannazirah
Words 4361
Pages 18
1.0 Pengenalan
Usahawan merupakan seseorang yang memulakan dan mengusahakan perniagaaan dengan idea kreatif dan inovatif bagi tujuan mendapat ganjaran dari segi kewangan dan kepuasan hati. Menurut Kamus Dewan, usahawan berasal daripada perkataan usaha yang bermaksud daya usaha, ikhtiar, kegiatan atau pekerjaan untuk melaksanakan atau menyempurnakan sesuatu pekerjaan.
Menurut Richard Cantillon (1725), usahawan ialah seorang yang sanggup memikul tugas atau mencuba sesuatu. Menurut Adam Smith dalam Wealth of Nations, usahawan dianggap sebagai individu yang membentuk organisasi bagi tujuan komersial. Mereka berpandangan jauh dan berupaya mengenal pasti potensi permintaan terhadap produk dan servis. Sementara menurut Meredith, Nelson dan Neck (1982) menyatakan usahawan sebagai orang yang mampu melihat dan menilai peluang-peluang perniagaan, menggabungkan keperluan sumber-sumber untuk mengambil peluang serta mengambil tindakan yang bersesuaian bagi memastikan kejayaan.
Keusahawan pula adalah satu proses mencipta sesuatu yang baru dan berbeza bagi tujuan mencipta kekayaan untuk individu dan menambah nilai kepada masyarakat. Menurut Cole (1959), keusahawanan dilihat sebagai satu proses mengenal pasti peluang-peluang dalam pasaran, menyusun sumber-sumber untuk mencapai objektif, dan tindakan seterusnya mengeksploitasi keperluan sumber-sumber bagi kepentingan peribadi dalam tempoh jangka masa panjang.
Di sini saya akan mengkaji dengan lebih terperinci mengenai seorang tokoh usahawan yang berjaya iaitu Datuk Jimmy Choo. Saya juga akan mengulas serba sedikit tentang latar belakang, anugerah dan pencapaian, cabaran yang dihadapi dalam menguruskan syarikat, faktor-faktor kejayaan, stail pengurusan, dan prinsip-prinsip yang diamalkan oleh beliau dalam meraih nama menjadi seorang usahawan yang berjaya dan terkenal di seluruh dunia.
Sebagai kesimpulannya, usahawan dianggap sebagai pencetus idea yang membawa kepada penghasilan sesuatu produk atau perkhidmatan yang baharu atau yang telah ditambah nilainya. Seorang usahawan mampu memberikan peranan dan sumbangan yang sangat besar di mana mereka mampu meningkatkan taraf kehidupan masyarakat sekaligus dapat menaikkan nama negara melalui status dan imej yang tinggi dan cemerlang dalam empayar perniagaan yang diusahakan. 2.0 Latar Belakang
Nama Jimmy Choo sinonim dengan kasut yang eksklusif dan bergaya. Nama Jimmy Choo kini dikenali bukan sahaja di Malaysia, malah di seluruh pelusuk dunia. Nama sebenar Jimmy Choo adalah sebenarnya Jimmy Choo Yeang Keat. Pendaftar telah tersilap mengeja namanya pada sijil kelahiran Jimmy Choo sehinggakan nama Jimmy Choo itu dikenali ramai.
Datuk Jimmy Choo lahir di Pulau Pinang, Malaysia pada tahun 1961 dalam keluarga berketurunan China Hakka. Beliau mendapat pendedahan awal mengenai teknik pembuatan kasut daripada ayahnya, Choo Kee Yin iaitu seorang tukang kasut sepenuh masa di Pulau Pinang. Beliau bersekolah di Sekolah Rendah Shih Chung dan tamat pembelajaran beliau pada tahun enam. Beliau menolong ayahnya dan berjaya menghasilkan kasut pertama pada umur 11 tahun.
Datuk Jimmy Choo merupakan seorang pereka kasut yang mahir dan pakar dalam menghasilkan kasut yang bertumit tinggi. Rekaan Datuk Jimmy Choo tidak hanya tertumpu kepada rekaan sepatu. Datuk Jimmy Choo juga turut menghasilkan rekaan tas tangan dan juga kaca mata yang ranggi dan bercita rasa tinggi standing dengan jenama antarabangsa yang lain seperti Gucci, Louis Vuitton mahupun Prada.
Datuk Jimmy Choo bukan sahaja seorang pereka kasut tetapi juga seorang tukang membuat kasut yang mahir dan pakar dalam menghasilkan hasil seninya. Beliau mendapat ilham dan inspirasi rekaannya daripada alam semula jadi seperti pokok dan bunga dan juga dari keadaan sekeliling seperti hiasan dalaman di tempat-tempat yang dilawatinya. Beliau sangat teliti dalam membentuk acuan kasut yang terdiri daripada bahagian atas, tapak dan tumit bagi memastikan kasut rekaannya seimbang supaya pemakai kasutnya berasa selesa dan selamat walaupun mengenakan kasut bertumit tinggi.
Datuk Jimmy Choo menyambung pengajiannya dalam bidang pembuatan kasut dan fesyen di Courtwainers College, London. Pada tahun pertama, bapanya menanggung pengajiannya tetapi untuk 3 tahun yang seterusnya, beliau melakukan kerja secara separuh masa sebagai pencuci di restoran dan juga di kilang kasut demi mencari sesuap nasi dan menampung pengajiannya. Beliau berjaya menamatkan pengajiannya pada tahun 1983.
Pada tahun 1986, beliau cuba untuk membuka kedai kasut dengan menyewa sebuah bangunan bekas hospital yang ditinggalkan di Hackney, North London. Beliau mengharungi 4 tahun yang sangat sukar kerana jualan kasutnya yang mendukacitakan. Namun beliau tidak berputus asa dan terus bertahan. Pada tahun keempat, salah satu rekaan Datuk Jimmy mendapat liputan di Majalah Vogue, sebuah majalah fesyen terkenal di UK. Nama Jimmy Choo mula dikenali. Tetapi beliau masih kecewa kerana walaupun mendapat liputan media jualannya terus merosot, sehingga pada satu masa dia terpaksa hidup dengan hanya memakan mi segera.
Namun, selepas empat tahun berlalu, nasib beliau berubah. Ditakdirkan mendiang Puteri Diana berkenan dengan rekaan Jimmy Choo lantas membelinya sekitar tahun 1990. Semenjak dari hari itu, Puteri Diana terus jatuh cinta dengan rekaan Jimmy Choo dan menyebabkan nama Jimmy Choo terus melonjak di persada antarabangsa.
Pada tahun 1996, beliau mengasaskan Jimmy Choo Ltd bersama Tamara Mellon, editor British Vogue. Tamara Mellon menjadi rakan kongsi dengan Jimmy Choo untuk memulakan sebuah syarikat pengeluaran kasut yang berpusat di Itali untuk mengeluarkan kasut dalam kuantiti yang besar.Pada April 2001,Jimmy Choo mengumumkan satu perjanjian perkongsian baru dengan Equinox Luxury Holdings Ltd, yang memperoleh saham-saham Jimmy Choo. Pengerusi dan CEO Equinox Robert Bensoussan menjadi CEO syarikat Jimmy Choo. Jimmy Choo menjual pegangan 50% dalam syarikat dengan harga sebanyak £ 10 juta untuk menumpukan kerja-kerja yang dilakukan pada Jimmy Choo Couture yang dihasilkan di bawah lesen daripada Jimmy Choo Ltd.
Kini, jenama Jimmy Choo dikaitkan dengan gaya, kemewahan dan ketulenan, serta menjadi kegilaan artis dan selebriti di serata dunia. Sepasang kasut wanita dijual sehingga mencecah beribu-ribu US dollar. Antara pelanggannya ialah Natalie Imbruglia dan Katie Holmes. Kasut Jimmy Choo juga mula muncul dalam filem terkenal Hollywood seperti The Devils Wear Prada (Meryl Streep) dan In Her Shoes (Cameron Diaz).

3.0 Anugerah dan Pencapaian
Pada tahun 2000, Jimmy Choo dianugerahkan dengan gelaran ‘Datuk’ oleh Sultan Pahang atas kejayaannya dalam bidang fesyen. Dua tahun kemudian, beliau mendapat anugerah “Order of the British Empire” OBE (Knighthood) oleh Permaisuri England, Queen Elizabeth II di atas sumbangannya dalam industri fesyen dan kasut di United Kingdom. Beliau juga dianugerahkan Darjah Setia Pangkuan Negeri daripada Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang yang membawa gelaran Dato’.
Pada tahun 2004, Datuk Jimmy Choo dianugerahkan biasiswa oleh University of The Arts London dan diberikan gelaran Profesor. Pada tahun 2011, Datuk Jimmy Choo dinobatkan sebagai pemenang ‘The World’s The Most Oustanding Chinese Designer 2011’. Pada tahun 2012, beliau kemudian menerima anugerah “You Bring Charm to the World-World’s Most Influential Chinese Award”.
Beliau boleh dianggap sebagai duta Malaysia atas kejayaannya memperkenalkan nama Malaysia di dunia fesyen serta sentimen patriotik yang sentiasa diluahkannya ketika berucap tentang negaranya. Secara berjenaka beliau pernah berkata, ingin dikenang sebagai seorang dewa kasut seperti Wah Toi, seorang dewa kasut dalam masyarakat Cina yang dipuja oleh Persatuan Pembuat Kasut Cina dari bahagian timur dunia. Pada hakikatnya, beliau sudah dianggap sebagai seorang dewa kasut memandangkan kasut rekaannya menjadi kegemaran pencinta-pencinta fesyen dan diiktiraf oleh dunia fesyen sejagat.
Walaupun beliau mengecapi kejayaan dan menikmati hidup yang mewah di London, namun hati beliau tetap di Malaysia. Ini dapat dilihat ketika beliau berucap di majlis-majlis umum di mana beliau sentiasa bercerita tentang Malaysia dengan penuh semangat. Malaysia masih menjadi pilihan utamanya sebagai tempat percutian. Antara sebab-sebab beliau memilih Malaysia adalah kerana keramahan masyarakat Malaysia sendiri dan juga pantai-pantai di Pulau Langkawi yang cantik dan tidak tercemar serta alam sekitarnya yang tenang. Beliau juga pasti tidak melepaskan peluang untuk menikmati juadah tempatan setiap kali beliau pulang ke tempat asalnya di Pulau Pinang. Beliau juga gemar melawat Kuala Lumpur. Pada pandangannya, kota yang sedang membangun dengan pesat ini mempunyai suasana yang penuh bertenaga serta turut menawarkan barangan pada harga yang berpatutan.
Baru-baru ini beliau bersama-sama duta makanan Malaysia, Datuk Redzuawan Ismail atau lebih dikenali sebagai Chef Wan telah dianugerahkan Anugerah Khas Kementerian Pelancongan kerana mempromosikan Malaysia di luar negara. Kedua-duanya menerima trofi daripada Menteri Pelancongan Datuk Seri Dr Ng Yen Yen di Anugerah Pelancongan Malaysia yang disaksikan Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah dan Raja Permaisuri Agong Tuanku Haminah Hamidun.
Beliau kini terlibat dalam projek untuk menubuhkan sebuah institut pembuatan kasut di Malaysia, di mana status ikonik beliau sering membangkitkan inspirasi kepada pembuat kasut tunas dan pereka fesyen. Datuk Jimmy Choo kini bersara dan menetap di London bersama isteri dan seorang anaknya.

4.0 Cabaran yang Dihadapi dalam Menguruskan Syarikat
Setiap perniagaan yang dimulakan mesti ada cabarannya dan rintangannya sendiri. Begitu juga dengan syarikat Jimmy Choo sendiri. Banyak cabaran dan dugaan yang terpaksa diharungi oleh Datuk Jimmy sebelum mencipta kejayaan gemilang dalam bidang yang diceburinya.
Permulaan kisah beliau bermula apabila Jimmy Choo ingin meneruskan pelajaran di London selama empat tahun. Selepas meyakini ayahnya, iaitu Kee Yin untuk membiayai yuran untuk tahun pertama beliau belajar di London, beliau pun belajar dengan bersungguh-sungguh. Kursus yang beliau ambil adalah selama empat tahun dan beliau perlu bekerja untuk membiayai kehidupan dan yuran selama tiga tahun. Oleh itu, beliau pun bekerja sambilan sebagai pencuci di sebuah restoran dan kilang kasut untuk membiayai kehidupannya di sana.
Selepas tamat pengajian di London, Datuk Jimmy mencuba untuk membuka kedai kasutnya dengan menyewa sebuah bangunan bekas hospital yang ditinggalkan di Malaysia. Beliau mengharungi empat tahun yang mendukacitakan kerana jualan kasutnya amat menyedihkan. Namun beliau tidak berputus asa dan terus bertahan. Pada tahun keempat, salah satu rekaan Datuk Jimmy mendapat liputan di Majalah Vogue, sebuah majalah fesyen terkenal di UK. Nama Jimmy Choo mula dikenali. Tetapi beliau masih kecewa kerana walaupun mendapat liputan media jualannya terus merosot, sehingga pada satu masa dia terpaksa hidup dengan hanya memakan mi segera.
Namun, selepas empat tahun berlalu, nasib beliau berubah. Ditakdirkan mendiang Puteri Diana berkenan dengan rekaan Jimmy Choo lantas membelinya. Semenjak dari hari itu, Puteri Diana terus jatuh cinta dengan rekaan Jimmy Choo. Nama Jimmy Choo terus melonjak dan jualannya menjulang ke langit. Kini Jenama Jimmy Choo dikaitkan dengan gaya, kemewahan dan ketulenan, serta menjadi kegilaan artis dan selebriti di serata dunia.
Pelbagai cabaran yang dilalui oleh Datuk Jimmy, namun berkat kesungguhan beliau dalam mengharungi pelbagai rintangan dalam mengejar cita-citanya menyebabkan jenama Jimmy Choo terus gah sehingga sekarang. Terlalu banyak cabaran yang dilalui walaupun amat susah, namun Jimmy Choo mempunyai semangat yang sangat kuat untuk mengharunginya. Oleh itu, setiap cabaran merupakan sebuah langkah permulaan kepada kejayaan. 5.0 Faktor Kejayaan
Seorang usahawan akan sentiasa berusaha untuk mencapai matlamat dan cita-citanya. Untuk menjadi seorang usahawan yang berjaya, jalan yang singkat atau jalan pintas perlu dielakkan dalam menjalankan sesuatu perniagaan. Perniagaan yang mengikut peraturan dan etika perniagaan ialah perniagaan yang dilakukan sendiri dengan sepenuh masa. Menurut Zaidatol dan Habibah (1997) menyenaraikan ciri-ciri usahawan yang berjaya iaitu tekun bekerja, rajin, gigih, tabah hati, menetapkan standard pencapaian untuk berjaya, fokus pada masa depan, tidak bergantung kepada nasib, bertanggungjawab dan mempunyai sikap yang positif.
Usahawan yang berjaya ialah mereka yang sanggup berdikari dan berjaya menguruskan kewangan sendiri tanpa mengharapkan bantuan daripada mana-mana pihak. Ini akan menjadikan mereka dapat memerdekakan diri dan emosi agar dapat mengharungi cabaran yang sedia ada di dalam perniagaan yang mereka ceburi. (Hisrich et al., 2000; Timmons dan Spinelli, 2000; Usahawan Sukses 2002; Rosdi 2002). Hal ini dapat dilihat dalam diri Datuk Jimmy Choo di mana beliau sanggup mengambil risiko dan sanggup menanggung kesusahan dalam kehidupannya demi mengejar cita-citanya. Beliau mengambil keputusan untuk menyambung pelajarannya di luar negara iaitu London selama empat tahun. Tetapi, bapanya hanya mampu menanggung pengajiannya selama setahun dan beliau nekad bekerja sambilan sebagai pencuci di restoran dan di kilang kasut untuk membiayai pengajiannya di sana. Ini menunjukkan beliau merupakan seorang yang cekal dan bijak dalam menyelesaikan permasalahannya demi mengejar cita-cita yang didambakan selama ini. “Berakit-rakit ke hulu, berenang-renang ke tepian, bersusah-susah dahulu, bersenang-senang kemudian”. Begitulah pepatah yang dapat digambarkan terhadap kepayahan yang dialami oleh Datuk Jimmy Choo sebelum menjadi seorang usahawan yang disegani seperti sekarang. Datuk Jimmy Choo telah melalui pelbagai cabaran dan rintangan yang amat sukar dalam menempuh perjalanan menjadi seorang usahawan yang berjaya. Namun, berkat kegigihan dan kesungguhan beliau dalam mengharungi pelbagai rintangan dalam mengejar cita-citanya menyebabkan jenama Jimmy Choo terus gah sehingga sekarang. Faktor keazaman yang tinggi inilah menjadi salah satu faktor penentu kejayaan beliau. Hal ini kerana, pada permulaan empat tahun yang pertama perniagaannya, hasil jualan kasutnya tidak memberangsangkan. Namun, beliau tidak cepat mengalah dan berputus asa dalam usaha mendirikan jenama kasutnya. Beliau tekad dan berusaha bersungguh-sungguh sehinggalah pada suatu hari mendiang Puteri Diana jatuh cinta terhadap rekaan kasutnya. Semenjak dari hari itu, nama Jimmy Choo terus dikenali ramai dan jualannya semakin melonjak naik.
Faktor minat yang mendalam dalam bidang fesyen dan rekaan kasut menjadi pencetus kepada kejayaan beliau hari ini. Datuk Jimmy Choo mempunyai minat terhadap rekaan kasut sejak kecil lagi apabila beliau mewarisi bakat dan ilmu daripada ayahnya iaitu seorang tukang kasut di Pulau Pinang. Beliau cuba untuk membuat kasut rekaannya sendiri pada umur 11 tahun setelah mendapat pendedahan awal daripada ayahnya. Beliau kemudian mengambil keputusan untuk menyambung pengajiannya di luar negara dan membuka kedai kasut pertamanya di Hackney setelah tamat pengajian. Hal ini menunjukkan minat dan kesungguhan yang ada dalam diri beliau dimanfaatkan dalam bidang perniagaan telah menghasilkan suatu perubahan yang tidak dijangkakan dalam hidupnya untuk mencipta nama di persada dunia.
Menurut McClelland (1985) telah mencadangkan satu profil usahawan yang terdiri daripada cirri-ciri usahawan yang berjaya seperti insiatif, melihat dan merebut peluang, kecekalan dan mencari maklumat. Faktor semangat keusahawanan berorientasikan peluang menjadi salah satu faktor kepada penentu kejayaannya pada hari ini. Beliau merupakan seorang kreatif dan inovatif dalam mencari peluang untuk memperkenalkan perniagaannya kepada dunia. Beliau bijak mencari peluang dengan membuka kedai kasut di London walaupun mengetahui akan risiko yang bakal ditanggung. Tambahan lagi, Datuk Jimmy Choo menghasilkan rekaan kasut yang menarik dan berunsurkan keselesaan dan kemewahan itu telah berjaya menarik perhatian Puteri Diana untuk membeli kasutnya. Selepas daripada itu, reputasi beliau terus melonjak dan hasil jualan kasutnya menjulang ke langit.
Selain itu, faktor kesediaan menghadapi risiko dan kegagalan menjadi penyumbang kepada kejayaan Datuk Jimmy Choo. Beliau yang pernah mengalami kemerosotan dalam perniagaannya apabila jualan kasutnya tidak mendatangkan keuntungan tidak mematahkan semangatnya untuk terus mereka kasut. Beliau sebaliknya berfikiran positif dan lebih gigih bekerja dengan menghasilkan pelbagai rekaan kasut yang menarik dan eksklusif. Hasil daripada keyakinan dan kegigihan yang tinggi inilah yang telah membantu beliau dalam melakar namanya di mata dunia hari ini.

6.0 Stail Pengurusan

Datuk Jimmy Choo adalah pengurus atasan. Beliau bertanggungjawab dalam membuat keputusan mengenai arah tuju syarikat beliau iaitu Jimmy Choo Ltd. Beliau juga yang menubuhkan syarikat beliau sendiri dari hasil titik peluhnya. Sebagai pereka kasut dan beg tangan, beliau juga perlu memilih saluran komunikasi yang paling berkesan untuk memasarkan rekaan-rekaan terbarunya.
Peranan Jimmy Choo dalam stail pengurusan syarikatnya boleh ditafsirkan mengikut Mintzberg iaitu dibahagikan kepada tiga kategori. Pertama, dalam hubungan interpersonal iaitu sebagai ketua, pemimpin dan orang yang berhubung dengan pihak luar. Sebagai ketua, Datuk Jimmy Choo perlu melaksanakan tugas yang simbolik iaitu tugas-tugas yang bersifat sosial dan melayan pelanggan. Contohnya, Jimmy Choo melayan permintaan Puteri Diana secara peribadi untuk mendapat rekaan kasut yang terbaik mengikut cita rasa Puteri Diana. Oleh itu jugalah Jimmy Choo merupakan pereka kasut yang diminati oleh Puteri Diana semasa hayatnya di atas stail pengurusan Jimmy Choo yang berorientasikan pelanggan.
Kedua, Jimmy Choo juga bertindak sebagai pemberi maklumat iaitu memantau dalam syarikatnya, sebagai penyebar dan jurucakap. Sebagai penyebar, beliau perlu mengeluarkan memo mengenai keluaran-keluaran baru butiknya, membuat promosi, menawarkan diskaun, memberi perkhidmatan yang istimewa dan sebagainya bagi menarik minat pelanggan. Manakala sebagai jurucakap pula, Jimmy Choo perlu mengeluarkan kenyataan di media-media sama ada media massa, media cetak mahu pun media elektronik mengenai barang keluarannya.
Jika terdapat sebarang pertikaian mengenai barangannya juga, beliau perlu mengadakan media konferensi untuk menyelesaikan konflik tersebut. Sebagai contoh, Datuk Jimmy Choo mendapat anugerah OBE iaitu “Order of the British Empire” daripada Permaisuri England, Queen Elizabeth II. Dalam sebuah temu ramah, Datuk Jimmy menceritakan dia membaca perutusan daripada Queen Elizabeth untuk menerima anugerah tersebut sambil tangannya terketar ketar. Namun, hasil kesungguhan beliau yang selama ini menubuhkan syarikatnya membuat beliau berkeyakinan untuk menerima anugerah tersebut.
Ketiga, Jimmy Choo merupakan pembuat keputusan di dalam butik atau syarikatnya. Beliau adalah usahawan iaitu beliau perlu memikirkan apa yang terbaik untuk syarikatnya, bagaimana untuk mendapatkan pelanggan yang ramai dan cara untuk menjaga kualiti barangan rekaannya. Beliau juga bertindak sebagai penyelesai gangguan dalam syarikat. Contohnya, jika ekonomi merosot beliau perlu memikirkan cara-cara untuk mengatasinya. Beliau juga turut berperanan sebagai pengagih sumber iaitu langkah-langkah untuk membelanjakan sumber ke arah mana sama ada ke bahagian pemasaran atau pun bahagian pengurusan dan bahagian-bahagian lain. Sebagai pembuat keputusan, beliau turut mengambil peranan sebagai perunding. Beliau perlu berunding dengan pihak-pihak luar mengenai cita rasa mereka untuk menghasilkan rekaan yang terbaik. Beliau juga akan memberi pendapat beliau kepada pelanggannya mengenai kasut yang sesuai dengan pelanggan tersebut. Peranan Jimmy Choo sebagai perunding amat penting kepada pelanggannya untuk mereka membuat keputusan.

7.0 Prinsip - Prinsip yang Diamalkan
Prinsip merupakan asas pegangan yang dijadikan sebagai panduan dalam hidup seseorang. Dengan adanya prinsip, matlamat hidup seseorang mampu untuk dicapai. Usahawan yang berjaya biasanya mempunyai prinsip hidup sebagai pegangan mereka. Usahawan yang berjaya ialah yang mampu untuk berpegang kepada prinsip-prinsip asas yang telah diletakkan dalam hidup mereka (Histriech et al, 2010).
Datuk Jimmy Choo mempunyai prinsip-prinsipnya yang tersendiri dalam mencapai matlamat yang diinginkan. Salah satu daripadanya ialah merendah diri dan menghormati orang lain. Kasut rekaan Datuk Jimmy Choo mungkin telah menghiasi kaki begitu ramai kerabat diraja dan selebriti. Namun, orang yang menghasilkan ciptaan cemerlang itu tetap menegaskan bahawa sikap rendah diri dan hormat terhadap orang lainlah yang meletakkan beliau di tempatnya sekarang. Menjelaskan tentang sifat-sifat yang membawa kepada kejayaannya, Choo anak kelahiran Pulau Pinang berkata, "Anda mesti menghormati orang lain tidak kira dari mana asal mereka. Bagi saya, saya amat menghormati ibu dan guru-guru saya oleh kerana merekalah orang yang meletakkan saya di tempat sekarang". Menurut Jimmy Choo, perasaan rendah diri dan tidak bongkak dengan kemewahan yang dimiliki akan menjadikan diri seseorang lebih berwaspada dengan usaha yang dilakukan. Jimmy Choo tidak pernah menganggap dirinya yang terbaik. Prinsip ini sangat penting walaupun suatu hari anda menjadi pereka fesyen yang tersohor di dunia, anda masih perlu untuk terus belajar merendah diri,” ujarnya.
Prinsip kedua yang diamalkan oleh Datuk Jimmy Choo ialah bekerja keras dengan sedaya upaya. Menurut beliau, kerja kuat adalah sangat penting untuk berjaya. "Tahun demi tahun, saya mengalami perubahan. Semuanya kerana kerja keras. Sejak bermula dalam bidang ini, motivasi saya berubah. Banyak benda yang saya lakukan menjadi mudah dan saya berjaya mencipta nama secara global. Saya tidak fikir saya sudah berjaya mencapai apa yang dimahukan untuk menjadi yang terbaik. Ini kerana masih banyak perkara yang perlu saya lakukan," katanya.
Sebagai pereka kasut, kenangan paling manis Jimmy apabila kasutnya diterima dan dipakai di seluruh dunia, bukan sahaja di Malaysia. Menurutnya, kejayaan yang diperoleh hari ini adalah hasil daripada keazaman dan kesungguhannya yang tinggi dalam bidang perniagaan yang diceburinya ini. Beliau sering berpesan kepada generasi muda yang ingin berjaya agar perlu berusaha dan bekerja dengan lebih kuat tanpa cepat mengalah jika ingin mencipta nama seperti dirinya sekarang. Prinsip ketiga yang menjadi pegangan Datuk Jimmy Choo ialah berani menanggung risiko. Datuk Jimmy Choo seorang yang berani dan yakin dengan kebolehan yang ada pada dirinya. Beliau tekad untuk menyambung pengajiannya di London dalam bidang rekaan dan fesyen serta bekerja secara sambilan di kedai kasut dan restoran untuk menampung pengajiannya di sana. Di samping itu, Datuk Jimmy Choo juga seorang yang berani mencuba cabaran baru. Berbekalkan modal yang sedikit, beliau cuba untuk membuka kedai kasut dengan menyewa bekas bangunan tinggalan hospital di London. Beliau tidak takut akan risiko yang bakal dihadapi walaupun berada seorang diri di negara asing. Walaupun begitu, datuk Jimmy Choo mengakui bahawa agak sukar untuk dia sampai ke tahap seperti ini kerana beliau terpaksa menempuh pelbagai dugaan dan rintangan untuk dia berjaya dalam bidang perniagaan ini.
Secara kesimpulannya, dengan adanya prinsip-prinsip hidup yang sentiasa diamalkan serta usaha yang gigih dan berterusan akan membuahkan hasil dalam setiap bidang pekerjaan yang hendak dilakukan. Namun begitu, setiap cita-cita dan impian perlu meraih sepenuh perhatian dan pengorbanan yang tinggi.

8.0 Pengajaran yang Diperoleh
Melalui kisah kejayaan Datuk Jimmy Choo yang telah saya kupas seperti di atas, saya dapati bahawa terdapat beberapa pengajaran yang boleh saya pelajari daripada beliau. Salah satu daripadanya ialah untuk menjadi seorang usahawan yang berjaya, perlu mempunyai komitmen dan keazaman yang tinggi. seorang usahawan perlulah sanggup melibatkan diri sepenuhnya dan sanggup mengorbankan masa, tenaga dan wang dalam memastikan kejayaan sesuatu perniagaan. Usahawan yang mempunyai keazaman yang kuat boleh menjayakan perniagaannya dan memastikanya terus berdaya saing dan berkembang maju. Selain itu, komitmen dan keazaman yang tinggi dapat membantu menolong usahawan mengatasi perasaan takut apabila berlakunya kesilapan atau kerugian serta bersedia dalam menghadapi sebarang risiko dan halangan yang bakal wujud.
Pengajaran yang kedua pula ialah seorang usahawan perlulah sentiasa melihat dan merebut peluang yang ada. Usahawan yang berjaya perlu sentiasa peka dengan persekitarannya dan mampu melihat dan merebut peluang yang ada dengan cepat. Peluang-peluang perniagaan ini boleh wujud akibat daripada perubahan cita rasa, sikap dan cara hidup pengguna, penemuan teknologi baharu dan sumber-sumber alam yang belum diterokai, peraturan dan undang-undang kerajaan, masalah-masalah sosial yang wujud dan sebagainya.
Pengajaran yang ketiga dapat saya peroleh daripada Datuk Jimmy Choo ialah seorang usahawan yang berjaya perlu sentiasa bersedia bagi menghadapi masalah,dari segi kewangan, pemasaran dan risiko perniagaan serta mengambil kira setiap aspek dan iktibar dari segala keadaan yang berlaku. Pelbagai cabaran akan dihadapi, lebih-lebih lagi risiko dalam menghadapi pesaing yang ramai. Oleh itu, usahawan perlu bersedia dan bijak menyelesaikan masalah yang berlaku. Seterusnya, pengajaran lain yang boleh saya dapati ialah seorang usahawan yang berjaya ialah usahawan yang berani dan tidak takut akan kegagalan. Sekali gagal tidak bermakna gagal selamanya. Kegagalan dalam perniagaan bukan bermakna usahawan itu telah gagal. Kegagalan dalam perniagaan yang lepas tidak semestinya menjadi suatu kehilangan. Usahawan mesti tidak patah semangat dan cepat mengalah. Usahawan perlu bersikap positif dan belajar daripada kegagalan perniagaan yang lepas serta menjadikan pengalaman itu sebagai satu panduan untuk terus berjaya dalam dunia perniagaan. Di samping itu, ciri-ciri yang terdapat pada usahawan yang berjaya ialah usahawan yang mempunyai matlamat yang jelas dan berwawasan tinggi. Dengan adanya matlamat dan wawasan yang jelas dapat menjadi penunjuk arah kepada usahawan untuk merancang strategi dan teknik-teknik yang betul dalam menghadapi cabaran dan persaingan dalam dunia perniagaan dan kehidupannya. Matlamat ini juga akan menjadi asas kepada penyaluran idea, masa dan tenaga yang berkesan. Dengannya juga, usahawan dapat mengelak dan mengurangkan pembaziran masa, tenaga dan kewangan yang menjadi ukuran kejayaan dalam mengendalikan perniagaannya.
Selain itu, individu yang memiliki ciri-ciri usahawan yang cemerlang ialah individu yang mempunyai keyakinan yang tinggi dan bersifat optimistik. Individu ini akan sentiasa menganggap cabaran dalam dunia perniagaan adalah suatu dugaan dan godaan hidup sahaja. usahawan perlulah teguh dalam pendirian dan prinsip mereka sendiri agar mampu menempuh pelbagai cabaran dan dugaan yang mendatang. Mereka juga perlu bersikap optimistik dan percaya bahawa apa yang hendak dicapai sebenarnya berada dalam tangan mereka sendiri. Dengan itu, usahawan seharusnya mempunyai proses pembelajaran yang berterusan supaya ilmu mereka akan sentiasa bertambah dan mampu untuk mengatur kembali strategi dan teknik-teknik yang betul setelah mengalami jatuh bangun dalam perniagaan yang diceburi (Hisrich et al., 2000; Timmons dan Spinelli, 2000; Kuratko dan Hodegetts, 2001)
Pengajaran yang terakhir dapat saya pelajari daripada Datuk Jimmy Choo ialah seorang usahawan perlulah mempunyai daya inisiatif dan bertanggungjawab dalam diri. Usahawan yang berinisiatif tinggi mampu melihat dan menganalisis sesuatu perkara dan mengambil tindakan yang proaktif sebelum terlambat. Usahawan juga perlu berfikiran kreatif, inovatif, bijak dan pantas dalam membuat keputusan menghadapi pelbagai perubahan persekitaran dan permintaan pelanggan untuk menikmati kejayaan yang sebenarnya (Timmons dan Spinelli, 2000; Kuratko dan Hodgetts, 2001; Usahawan Sukses, 2002; Rosdi, 2002).

9.0 Kesimpulan
Sebagai kesimpulannya, berdasarkan kisah usahawan Datuk Jimmy Choo yang berjaya, saya dapati bahawa dengan adanya minat yang mendalam dan ditambah dengan kesungguhan serta keazaman yang tinggi mampu membentuk seorang individu untuk berjaya dalam segenap aspek yang diceburi. Seorang usahawan perlulah mempunyai sikap tabah dan cekal serta sanggup menghadapi risiko dan cabaran yang tinggi dalam dunia perniagaan jika ingin berjaya seperti Datuk Jimmy Choo. Tambahan lagi, usahawan perlulah bijak mencari dan merebut peluang yang ada di persekitarannya agar dapat menempatkan nama seiring dengan usahawan-usahawan yang berjaya di Malaysia atau luar negara.
Seorang usahawan yang berjaya perlu mempunyai prinsip dan wawasan hidup mereka sendiri. Melalui prinsip dan objektif yang telah mereka tetapkan dalam diri dapat membantu seorang usahawan dalam menghadapi pelbagai onak dan cabaran yang mendatang dalam kehidupan dan perniagaannya. Pemilihan mentor dalam perniagaan adalah sangat penting seperti yang dinyatakan oleh Norlela Zubir (2008) kerana ia memberi motivasi kepada ahli usahawan untuk mencontohi sifat gigih mentor tersebut. Sehubungan dengan itu, pengalaman dan cabaran yang dihadapi oleh Datuk Jimmy Choo dapat diambil sebagai contoh dan pendorong dalam mencapai matlamat dan tujuan yang diingini. Justeru itu, usahawan mempunyai peranan dan sumbangan yang sangat besar, baik kepada individu usahawan, masyarakat mahupun negara. Dengan adanya usahawan yang berjaya seperti tokoh usahawan Datuk Jimmy Choo dapat membantu meningkatkan pembangunan negara serta menaikkan nama negara di mata dunia seterusnya wawasan 2020 mampu untuk digenggam dan dicapai.

10.0 Bibliografi

Ab. Aziz Yusof (2013). Strategi Usahawan Cemerlang : Modul Garis Panduan Keusahawanan.
Kuala Lumpur: Utusan Publication & Distributors Sdn Bhd.
Ahmad Shafie Sabaruddin (2003). Kecemerlangan Hak Setiap Orang: Bagaimana Menghadapi Cabaran Dan Berjaya Dalam Perniagaan. Kuala Lumpur: Pustaka Cipta Sdn. Bhd.
Chiew Tung Moi, Tam Yin Ling @ Adeline, Mansur Tola dan Chang Mui Ling @ Dyana (2011). Asas Keusahawanan. Selangor: Penerbitan Multimedia Sdn. Bhd.

Norita Deraman, Armanurah Mohamad, Habshah Bakar, et. al. (2007). Keusahawanan: Teori dan Praktis. Malaysia: McGraw Hill Sdn. Bhd.

Muhammad Nasri Md. Hussain dan Muhammad Ahmad (2006). Etika Perniagaan: Pendekatan Perspektif Islam. Selangor: Prentice Hall.

Kejayaan Datuk Jimmy Choo (2011). Diperoleh pada 10 April 2014 daripada http://www.usahawan.com/tokoh-perniagaan/kisah-kejayaan-datuk-jimmy-choo.html
Kisah Kejayaan Datuk Jimmy Choo (2010). Diperoleh pada 10 April 2014 daripada http://usahawanwibawa.blogspot.com/2013/10/jimmy-choo.html
Rendah Diri, Hormat Rahsia Kejayaan Datuk Jimmy Choo (2013). Diperoleh pada 11 April 2014, pada 2 http://www.karangkraf.com/berita/rendah-diri-hormat-rahsia-kejayaan-jimmy-choo-1.166467
Kehebatan Jimmy Choo (2013). Diperoleh pada 11 April 2014 daripada http://www.utusan.com.my/utusan/Rencana/20120708/re_13/Kehebatan-Jimmy-Choo#ixzz2hNd6AeYS
Zaidatol Akmaliah Lope Pihie (2007). Usahawan dan Keusahawanan: Satu Perspektif Pendidikan. Selangor: Universiti Putra Malaysia.
Lampiran

Datuk Jimmy Choo

Rekaan kasut Datuk Jimmy Choo

Butik Jimmy Choo

Kerabat Diraja yang memakai kasut rekaan Jimmy Choo

Similar Documents