Free Essay

He Etnik Nik

In:

Submitted By peijinchuahpj
Words 4117
Pages 17
Isi Kandungan

1. Pengenalan 2 2. Sejarah Asal Usul Kaum Iban 3-4 3. Penempatan Kaum Iban 5 4. Sistem Bahasa 6 5. Kegiatan Ekonomi 7-8 6. Makanan Tradisional Kaum Iban 9-11 7. Pakaian Tradisional Kaum Iban 12-15 8. Perayaan Kaum Iban 16-20 9. Perkahwinan Kaum Iban 21-24
10. Pantang-Larang Kaum Iban 25
11. Kesimpulan 26
12. Rujukan 27

Pengenalan
Hubungan etnik merupakan salah satu kursus wajib 2 kredit yang didaftarkan di Taylor’s University. Kursus ini bertujuan memupuk kesepaduan antara etnik serta mengenali etnik-etnik yang terdapat di Malaysia. Seperti yang kita ketahui, Malaysia bukan sahaja kaya dengan hasil bumi yang bernilai tetapi juga mempunyai masyarakat majmuk yang mengamalkan perkongsian budaya antara kaum. Selain daripada mengikuti kuliah, kami juga dikehendaki melaksanakan kajian lapangan mengenai etnik-etnik yang terdapat di Sarawak. Kumpulan kami telah memilih kaum Iban dan kajian ini dijalankan di sekitar bandar Bintulu dan lawatan ke Kuching juga membantu kami untuk menambahkan info mengenai kaum Iban. Setelah mencari maklumat daripada pelbagai sudut, kami telah mengetahui latar belakang, sistem bahasa, makanan, pakaian, perayaan, perkahwinan dan pantang larang kaum Iban. Keputusan lengkap daripada tugasan ini telah kami sediakan di muka-muka surat belakang.

Sejarah Asal Usul Kaum Iban
Kaum Iban dahulu dikenali sebagai Dayak Laut dengan populasi sebanyak 876,000 orang, iaitu 40% daripada jumlah penduduk Sarawak. Kaum Iban merupakan kumpulan etnik yang terbesar di Sarawak, mereka mendiami daerah dan bahagian negeri Sarawak dari daerah Lundu di barat dan Limbang di Timur Laut, tetapi kepadatan penduduk Iban adalah di bahagian Kota Samarahan, Sri Aman, Sarikei, Sibu, Kapit, Bintulu dan Miri. Kebanyakan kaum Iban tinggal berkampung di rumah panjang yang kebiasaanya terletak di tebingan sungai dan di tepi jalan raya. Ini adalah bagi mempermudahkan pekerjaan, berhubung dan berkomunikasi antara satu sama lain. Amalan cara hidup yang diamalkan adalah berlandaskan hukum adat, pantang-larang, tolak-ansur (toleransi) dan berteraskan perhubungan persaudaraan yang erat antara satu sama lain. Kebanyakan masyarakat Iban pada hari ini menerima agama Kristian sebagai pegangan, tetapi pada masa yang sama masih mengekalkan nilai adat resam dan ciri-ciri kebudayaan yang menjadi lambang tradisi masyarakat Iban. [Sarawak mempunyai 112 jenis suku Dayak (Maraz, 2013).
Iban atau Dayak Iban adalah salah satu rumpun Dayak yang terdapat di Sarawak, Kalimantan Barat, Brunei, Sabah dan Johor. Mengikut sejarah lisan, pembentukan dan perkembangan budaya sosial kaum Iban khasnya atau bangsa Dayak amnya terjadi semasa zaman kegemilangan Kerajaan Dayak di Tampun Juah, sebelum kaum Iban dan bangsa Dayak berpecah kepada beberapa subsuku yang terdapat pada masa kini. Semasa zaman kolonial Inggeris di Sarawak dan Belanda di Kalimantan Barat, kaum Iban sebelumnya dikenali sebagai Dayak Laut dalam pengertian Bahasa Iban Laut yang bermaksud Melayu (merujuk kepada kaum Melayu). Jika diistilah secara betul, Dayak Laut dalam Bahasa Iban bermaksud Dayak Melayu. Fakta ini juga disokong kerana ada satu lagi rumpun bangsa Dayak Laut iaitu Dayak Malayik atau Dayak Melayu yang tinggal di Kalimantan Barat dan Kalimantan Tengah. Fakta ini disokong kerana bahasa Iban adalah bahasa yang paling dekat dengan Bahasa Melayu. Bahasa Iban berasal dari rumpun Malayic manakala masyarakat Iban berparas rupa serta fizikal seiras ras Malayoloid. Kekadang maksud Dayak Laut ditafsirkan dalam bahasa Melayu dan jika diterjemahkan kepada Bahasa Inggeris ia bermaksud Sea Dayak yang menggenapi maksud Land Dayak. Ia digunapakai oleh kaum Bidayuh kerana dalam bangsa Dayak dibahagikan kepada 4 subbangsa iaitu Dayak Laut, Dayak Darat, Dayak Orang Ulu dan Dayak Barito (Syahirah, 2014).
Kaum Iban merupakan kumpulan etnik yang terbesar di Sarawak dan kaum ke-empat terbesar di Malaysia selepas kaum Melayu, Cina dan India. Mereka mendiami setiap daerah, kabupaten dan bahagian di Sarawak, Brunei, Kalimantan Barat serta 6 daerah di Johor (Kota Tinggi, Johor Bahru, Kulai Jaya, Pontian, Kluang dan Batu Pahat) dan 2 bahagian di Sabah (Pedalaman dan Tawau), tetapi kepadatan kependudukan Iban tertumpu di 4 kabupaten iaitu Sanggau, Sekadau, Sintang dan Kapuas Hulu di Kalimantan Barat serta 8 bahagian iaitu Samarahan, Sri Aman, Betong, Sarikei, Sibu, Kapit, Bintulu dan Miri di Sarawak. Sekarang, kaum Iban telah tersebar besar hingga ke Brunei dan Sabah di utara Borneo dan Johor di Semenanjung Malaysia.

Penempatan Kaum Iban
Orang Iban biasanya menetap di lembah Sungai Saribas, Sungai Skrang, Sungai Batang Lupar, dan Sungai Rajang. Kaum Iban adalah kaum yang mengamalkan banyak budaya yang amat menarik. Mereka hidup bermasyarakat dan mendiami di rumah-rumah panjang. Mereka diketuai oleh ketua kampung yang dipanggil Tuai Rumah. Kebanyakkan masyarakat Iban sekarang telah menetap di bandar-bandar besar di sekitar Negeri Sarawak.

Rumah-rumah Panjang

Sistem Bahasa
Kaum Iban dikenali sebagai "Master of Language" di dunia. Professor Derek Freeman adalah salah seorang di kalangan pengkaji Bahasa Iban yang menyatakan bahawa orang Iban sememangnya “master of language”. Professor Derek Freeman turut menyatakan bahawa Orang Iban fasih berbahasa. Contohnya, mencipta serta menggubah puisi yang indah, bijak memilih dan menyusun ayat serta mempunyai banyak jenis puisi yang menggunakan penyusunan ayat yang sesuai. Orang Iban yang mempunyai bahasanya yang tersendiri, iaitu Bahasa Iban. Bahasa Iban berbeza di setiap tempat bukan sahaja di Sarawak tetapi di Kalimatan, Sabah dan Semenanjung. Bahasa Iban merupakan bahasa yang seragam (homogenous). Masyarakat Dayak-Iban merupakan satu-satunya bangsa bumiputra di Malaysia yang mempunyai sistem tulisan yang disebut 'Turai'. Ia mempunyai tidak kurang daripada 59 abjad yang mewakili bunyi sebutan seperti tulisan rumi. Sistem tulisan ini berkesan kerana orang Iban dapat merujuk keturunan sehingga 15 generasi yang terdahulu dengan darjah ketepatan yang mengagumkan dan juga merekodkan peristiwa penting. Salah satu peristiwa yang penting dalam sejarah orang Iban ialah 'Pirate of Beting Maro' di mana mereka mematahkan kemaraan penjajah dengan serangan [Ngayau] dan membawa pulang kepala musuh yang dipenggal.

Kegiatan Ekonomi
Sebahagian besar masyarakat Iban masih tinggal di rumah-rumah panjang di mana pola pertempatan bagi rumah panjang ini berselerak di lembah-lembah sungai di seluruh negeri Sarawak (Maraz, 2013). Orang Iban yang tinggal di rumah panjang masih menjalankan aktiviti memburu dan mendapat sumber-sumber hutan sebagai bekalan makanan dan perubatan. Terdapat juga perkampungan orang Iban yang wujud di kawasan berhampiran dengan laut agar mereka dapat menjalankan kegiatan menangkap ikan. Kawasan seperti ini memberi mereka laluan untuk berhubung dengan masyarakat luar.
Asas ekonomi orang Iban adalah pertanian iaitu bercucuk tanam, menternak binatang, menangkap ikan, mencari bahan-bahan dari hutan atau memburu. Dalam sistem ekonomi tradisi, kekuatan ekonomi orang Iban bergantung kepada pertanian. Oleh sebab itu, kebanyakan masyarakat Iban terdiri daripada petani. Segolongan besar orang Iban masih melibatkan diri dalam kegiatan pertanian iaitu menanam padi bukit atau padi huma. Padi huma ialah makanan penting bagi kumpulan etnik. Penanaman padi huma tidak memerlukan sistem saliran dan boleh ditanam di kawasan berbukit-bukau (Maisarah, 2014). Masyarakat Iban mengusahakan tananam padi bukit. Bagi mereka, beras bukit lebih lembut, wangi dan lebih sedap dimakan apabila dimasak dengan menggunakan periuk tembikar dan dapur kayu. Aktiviti penerokaan dilakukan dengan keluasan yang maksima dengan matlamat mendapatkan hasil tuaian tanaman padi yang lebih banyak. Sesiapa yang mendapat tuaian padi yang banyak maka dia akan dianggap sebagai seorang kaya dan dipandang tinggi, pintar dan rajin. Justeru, masyarakat Iban pernah dianggap sebagai salah satu masyarakat yang terkenal dengan penanaman padi bukit.

Selain menanam padi, tananam kontan yang lain seperti jagung, ubi kayu, timun, kacang panjang, labu air, labu merah, labu kundur boleh ditanam serentak di tapak yang sama, bersamaan dengan tananam padi itu.

Menangkap Ikan

Menanam Padi Huma

Makanan Tradisional Kaum Iban
Masyarakat Iban memiliki pelbagai hidangan yang unik. Antaranya ialah Manuk Pansuh. Manuk Pansuh atau ayam yang dimasak di dalam buluh juga merupakan salah satu daripada makanan tradisi orang Iban. Biasanya masyarakat Iban akan menggunakan ayam tua untuk dibuat "pansuh". Makanan ini sedap dijadikan lauk dan "tabas" semasa perayaan. Daun ubi akan diletakkan pada hujung buluh untuk menghasilkan bau wangi.

Manuk Pansuh
Selain itu, Pekasam Ensabi merupakan makanan tradisional kegemaran orang Iban. Lauk ini merupakan sayur sawi dibuat jeruk hingga menjadikannya sebagai pekasam. Pekasam Ensabi juga dikenali sebagai "kasam ensabi" oleh masyarakat Iban. Rasanya yang masam dan sedikit masin amat sedap dinikmati dengan hidangan nasi panas dan dicampur dengan limau. Kini, hidangan yang diwarisi sejak zaman nenek moyang terus digemari hingga generasi sekarang.

Pekasam ensabi
Seterusnya, Kasam Ikan atau "Pekasam" sangat dikenali bagi suku kaum masyarakat Iban. Tidak sah jika suku Iban menghidang makanan tanpa pekasam di sisi. Selalunya, ikan akan diperam selama sebulan sebelum dimakan, semakin lama diperam, semakin sedap rasa isinya. Selain itu, pelbagai jenis ikan boleh digunakan untuk dijadikan pekasam seperti ikan semah, baong, lampam jawa, tengadak, sepat dan apa-apa saja jenis ikan sungai. Selain daripada itu, ramai masyarakat yang tidak dapat menerima makanan ini kerana baunya. Akan tetapi, sesetengah individu dapat menerimanya dengan baik.

Kasam ikan
Kuih tradisional cakar ayam yang dihasilkan daripada hirisan ubi keledek bersira gula masih lagi menjadi salah satu daripada kuih tradisional yang popular. Makanan tradisional kaum Iban ini pasti ada di rumah panjang setiap kali menjelang perayaan Hari Gawai.

Kuih cakar ayam
Tambahan pula, Tuak merujuk kepada sejenis minuman beralkohol tradisi yang popular di kalangan masyarakat asli atau bumiputera. Tuak pada asasnya merupakan sejenis minuman yang terhasil dari pemeraman bahan tertentu. Jenis bahan tersebut bergantung kepada suku kaum yang menghasilkannya. Bagi masyarakat Kelantan, perkataan tuak merujuk kepada nira iaitu minuman yang dihasilkan dari mayang kelapa yang kandungan gulanya belum bertukar kepada alkohol. Di Malaysia, terdapat tiga jenis tuak yang diketahui iaitu tuak beras, tuak kelapa dan tuak nipah.

Tuak beras

Pakaian Tradisional Kaum Iban
Masyarakat Iban terkenal dengan cara pemakaian atau disebut juga ngepan Iban. Cara pemakaian masyarakat Iban sangat unik dan masih lagi diamalkan pada masa kini terutamanya pada musim keramaian, majlis-majlis tertentu, dan juga pada musim perayaan iaitu Hari Gawai. Pada zaman dahulu, pakaian lelaki dan wanita dalam masyarakat Iban jauh berbeza. Namun demikian, ia lebih banyak diperbuat daripada kain tenunan yang memaparkan corak tenunan yang sangat cantik. Untuk perhiasan pula, masyarakat Iban menggunakan pelbagai perhiasan seperti marik empang, sugu tinggi, rawai dan sebagainya. Perhiasan yang cantik ini diperbuat daripada bahan logam seperti timah dan juga perak.
Pakaian tradisional lelaki Iban baju Burung terbahagi kepada dua iaitu Kain Sirat dan Dandong. Kain Sirat juga dikenali sebagai kain cawat yang merupakan pakaian asas kaum Iban. Sirat dipakai dengan cara melilit di pinggang dan celah kelengkang. Hujung kain ini dijuntaikan dari pinggang ke hadapan dan belakang badan untuk mempamerkan bahagian yang berhias. Dandong pula merupakan kain selendang yang dipakai oleh lelaki Iban. Dandong lebih lebar daripada bedong. Panjang dandong tidak tetap kerana kain ini digunakan sebagai pembungkus barang-barang persembahan dalam upacara-upacara tertentu. Dandong diperbuat daripada kain yang ditenun dengan cara ikat. Pakaian tradisional Masyrakat Iban iaitu bagi lelaki. Pakaian tradisional lelaki turut dilengkapi sirat (dipakai sebagai seluar) dan lelanjang iaitu topi yang dihias dengan bulu burung merak atau burung kenyalang. Kain Sirat Kain Dandong

Pakaian tradisional kaum lelaki iban
Di samping itu, pakaian wanita Iban dapat dilihat daripada bahagian kepala sehinggalah ke bahagian kaki. Pakaian tradisional kaum wanita Iban terbahagi kepada tiga jenis iaitu Bidang, Kalambi dan Bedong. Bidang merupakan sejenis kain sarung yang sempit dan panjangnya sehingga separas lutut. Baju Kaum Iban yang dipanggil kalambi pula terdapat dua jenis iaitu kalambi berlengan dan kalambi tanpa lengan. Wanita Iban juga memakai kain selendang yang panjang dan sempit. Kain selempang ini dikenali sebagai bedong, ia dihiasi oleh reka corak tenunan yang sangat halus.
Wanita Iban memakai kain sarung yang dipanggil bidang. Kain sarung ini sempit dan panjangnya lebih kurang separas lutut. Biasanya bidang diperbuat daripada sebidang kain yang berukuran 110 cm x 60 cm dan terdiri daripada dua bidang kain, seumpamanya dicantumkan. Bidang yang digunakan sebagai pakaian harian tidak banyak reka coraknya. Kebiasaannya, bidang ini hanya dihias oleh reka corak jalur-jaluran yang bewarna-warni. Bidang dipakai ketika upacara tertentu. Semasa perayaan pula, bidang dihiasi oleh pelbagai reka corak geometrik dan diwarnakan dengan warna merah bata dan kekuning-kuningan. Malah, ada diantara bidang tersebut yang dihiasi dengan reka corak bermotif tradisional yang disongketkan dengan benang emas atau perak di atas kain dasar yang bewarna merah.
Sementara itu, panjang bedung hampir sama dengan sirat. Bedong dipakai di bahu sebagai selendang atau diselempangkan di badan seperti pangkahan di dada dalam upacara-upacara rasmi. Pakaian tradisional kaum wanita Iban –Bidang dan Bedong

Pakaian dilengkapi dengan kain tenun/kebat, sugu tinggi, marik empang, tumpa, rawai gelang kaki, buah pauh dan juga tali hujan.

Perayaan Kaum Iban
Dalam masyarakat Iban, perayaan Gawai merupakan salah satu perayaan yang penting bagi mereka. Perayaan Gawai disambut oleh masyarakat Iban di Sarawak untuk meraikan tamatnya musim menuai padi (Maraz, 2013). Pesta Gawai juga dikenali sebagai Gawai Dayak. Jenis-jenis Hari Gawai adalah seperti Gawai Dayak, Gawai Burung, Gawai Batu, Gawai Kenyalang, Gawai Panggul, Gawai Kelingkang, Gawai Tuah, Gawai Lelabi dan Gawai Antu. Gawai Batu (permulaan musim menanam padi), Gawai Burung (perayaan berkaitan dengan sesuatu tanda atau mimpi yang tidak baik), Gawai Bersimpan (kesyukuran setelah selesai menuai) dan Gawai Antu (perayaan untuk roh orang-orang yang sudah meninggal dunia). Antara yang paling penting adalah Gawai Kenyalang dan Gawai Antu. Pesta Gawai di Sarawak telah disambut secara besar-besaran semenjak 1964.
Pesta Gawai pada kebiasaannya disambut pada akhir bulan Mei atau awal bulan Jun setiap tahun. Pesta Gawai di Sarawak disambut dengan meriah di bandar-bandar dan di desa dengan persembahan tarian, minuman tuak 'arak beras'. Penduduk rumah panjang mula ziarah-menziarahi ataupun dalam dialek tempatan “ngabang” ke rumah kawan-kawan mahupun sanak saudara yang lain sementara anak-anak yang bekerja di bandar akan pulang ke kampung untuk bersama-sama memeriahkan hari yang mengeratkan perpaduan sesama bangsa. Suku kaum Iban yang tinggal di kawasan kampung akan mengadakan rumah terbuka dan mengalu-alukan sahabat handai serta saudara mara yang terdekat mengunjungi rumah untuk mengeratkan tali kemesraan.

Orang Iban berkumpul di Rumah Panjang
Tuai rumah merupakan orang yang bertanggungjawab menguruskan sambutan yang penting ini. Perayaan Gawai juga tidak akan lengkap, sekiranya Tuak tidak dihidangkan. Tuak diperbuat daripada sejenis beras dipanggil "Beras Pulut". Beras tersebut akan direndam bersama air di dalam tempayan atau dikenali sebagai "Tajau". Proses tersebut mengambil masa sekurang-kurangnya dua minggu sebelum ia boleh diminum dan beras tersebut juga akan menjadi sejenis makanan yang dipanggil "Nasi Tapai". Namun pada masa kini, proses pembuatan tuak berlainan sedikit. Selain dibuat dengan menggunakan beras pulut, ia juga dicampur dengan gula pasir supaya rasanya manis. Biasanya, Tuak akan dihidangkan pada perayaan tertentu seperti perayaan gawai dayak, gawai hantu, gawai burung dan sebagainya. Selain daripada masyarakat Iban, terdapat juga masyarakat lain seperti Bidayuh, Orang Ulu yang membuat tuak dengan cara mereka sendiri. Tuak boleh membawa kesan yang mudarat seperti mabuk, khayal, muntah sekiranya diminum berlebihan.

Air Tuak
Pada hari pesta Gawai, pelbagai jenis makanan dan air tuak akan dipersembahkan kepada Dewa Padi dan Kekayaan. Satu puisi khas untuk Pesta Gawai akan dibacakan oleh salah seorang daripada mereka sebelum merenjiskan darah ayam jantan ke atas bahan persembahan. Bahan persembahan yang basah dengan darah ayam jantan itu dianggap sebagai pembuka rasmi Pesta Gawai. Setelah upacara persembahan telah selesai, perayaan Gawai secara tradisi dimulakan. Seluruh masyarakat berkumpul sekitar 'ranyai' atau pokok istiadat yang dibawa masuk ke dalam dan diletakkan di serambi umum di rumah panjang. Ranyai diperbuat daripada batang pokok pisang iaitu tiang suci yang dibina dengan seberkas lembing pahlawan yang digunakan bagi bertempur dengan musuh semasa bertempur. Perayaan ini disambut sekitar Ranyai dengan makanan dan minuman tuak. Perayaan Gawai merupakan masa untuk semua orang bersuka-ria sambil menjamu hidangan bersama air tuak. Ranyai ini merupakan tanda simbolik untuk perayaan Hari Gawai. Ranyai ini akan didirikan ditengah-tengah 'ruai' tempat untuk semua penghuni rumah panjang berkumpul.

Ketika perayaan Gawai, setiap suku kaum Dayak lengkap berpakaian tradisional masing-masing dengan motif dan corak yang unik serta menonjolkan lagi kecantikan semulajadi paras rupa mereka. Anak-anak gadis akan mengenakan perhiasan perak dan gubahan manik yang diwarisi sejak turun-temurun serta memiliki seni estetika yang cukup mengagumkan. Khazanah yang eksotik ini menjadi kebanggaan bagi setiap suku kaum Dayak kerana ia merupakan peningggalan yang telah diwarisi dari generasi ke generasi. Pakaian tradisi dikenakan, dan perhiasan manik orang ulu akan dikeluarkan untuk dipakai pada hari itu.

Biasanya, Tarian Ngajat ditarikan dalam sambutan Hari Gawai sebagai tanda kesyukuran dalam kehasilan menuai padi sepanjang tahun (Syahirah, 2015). Penari akan memakai pakaian tradisi seperti 'sirat', 'gagung' atau baju burung. Penari juga memakai topi yang dihias dengan bulu-bulu burung. Gagung merupakan sejenis baju yang tebal, keras dan diperbuat daripada kulit haiwan seperti kulit beruang tetapi tidak dijahit kiri dan kanannya. Tarian ini ditarikan dengan berdiri di atas bulatan langsaran ke atas dan ke bawah, penari akan melompat bersama iringan lagu. Setiap rentak yang dimainkan haruslah bersesuaian dengan upacaranya. Bagi Gawai Sandau Ari, gendang Rayah dimainkan untuk menyambut tetamu kehormat dan orang yang menyambut gawai untuk ber'Rayah' sambil membawa tengkorak musuh. Tarian Ngajat
Salah satu acara paling menarik pada perayaan Gawai adalah Ngajat Lesong. Tarian Ngajat Lesong merupakan tarian yang di persembahkan oleh golongan lelaki sahaja. Persembahan ngajat jenis ini hanya dibenarkan untuk di tarikan oleh kaum lelaki kerana ianya memerlukan penari lelakinya untuk menari sambil menggigit lesong (Cikguhailmi.com, 2013). Kekuatan dan kegagahan yang di tunjukkan dalam persembahan tarian ngajat lesong jenis ini hanya sesuai di persembahkan oleh golongan lelaki sahaja. Lagu iringan dibunyikan dari alat-alat seperti gong besar dan kecil, gendang, tawak, bebendai, engkurumong dan sapeh, iaitu alat bertali seperti gitar. Penari akan menunjukkan kekuatan dengan mengangkat lesung menumbuk padi dengan menggunakan giginya.

Perkahwinan Kaum Iban
Perkahwinan dalam masyarakat Iban agak unik kerana terdapat beberapa peraturan yang dilakukan sebelum seseorang itu layak menjadi suami isteri. Dalam masyarakat Iban, usia pengantin lelaki perlu melebihi dua puluh dua tahun. Ini disebabkan dalam usia yang sebegini, pihak lelaki telah bersedia untuk berkahwin. Bagi pihak si gadis pula, tiada umur khusus yang ditetapkan.
Perkahwinan yang sempurna bagi masyarakat Iban ialah perkahwinan yang mematuhi kehendak adat. Pihak yang melanggar mana-mana adat perkahwinan dikehendaki membayar denda untuk mengelakkan pasangan suami isteri ditimpa kesusahan. Usaha mencari pasangan bergantung pada keadaan di rumah itu, kalau keluarga itu besar, anak-anak mereka lambat dikahwinkan. Sebaliknya, jika anggota keluarga di rumah itu kecil, anak-anak mereka akan dikahwinkan secepat mungkin dengan harapan menantu dapat membantu keluarga membuat kerja-kerja tertentu.
Terdapat beberapa peringkat tertentu dalam perkahwinan kaum Iban iaitu peringkat merisik, meminang, bertunang, majlis perkahwinan dan selepas majlis perkahwinan. Pertamaya, adat merisik ini adalah adat yang wajib dilaksanakan dalam masyarakat Iban. Dalam masyarakat Iban, perkahwinan biasanya ditentukan oleh pengantin lelaki. Sekiranya seorang teruna telah berkenan kepada seorang gadis, ibu bapanya atau wakil akan bertandang ke rumah gadis untuk merisik. Perjumpaan kedua belah pihak ini juga dikenali sebagai berbunga-bunga atau berjarum-jarum. Pada masa itu, syarat-syarat perkahwinan sepert berian dan sebagainya akan ditentukan. Keluarga pihak lelaki akan menghantar rombongan meminang gadis jika hasil pertemuan itu menggalakkan. Syarat perkahwinan ditentukan kemudian oleh kedua-dua pihak.
Pada peringkat meminang dan bertunang, pihak keluarga si teruna akan membawa rombongan yang tidak kurang daripada 5 – 20 orang yang terdiri daripada orang-orang tua di dalam keluarga si teruna. Pada masa ini, syarat-syarat perkahwinan akan ditentukan serta diperjelaskan secara terperinci. Ini termasuklah soal mas kahwin serta lain-lain perkara yang berkaitan. Jika kata sepakat sudah diterima, ayahanda si teruna akan menanggalkan lapit, ikan pinggang perak atau sebilah pedang sebagai tanda pertunangan. Kebiasaannya, ayahanda si dara atau mereka yang lebih berusia di dalam keluarga si daralah yang akan menerima bagi pihak si dara. Jika segala ini sudah disambut, maka barulah kedua-dua keluarga boleh memulakan perbincangan untuk majlis perkahwinan seperti tarikh dan bentuk majlis yang akan diadakan nanti. Mulai saat ini, si dara sudah secara rasminya menjadi tunang kepada si teruna dan si dara tidak boleh lagi menerima kunjungan teruna yang lain selain daripada tunangannya sendiri. Bagi keluarga si teruna pula, mereka perlu memberitahu sanak-saudara dan jiran tetangga mereka mengenai pertunangan anak mereka. Walaupun tiada tempoh yang khusus untuk durasi pertunangan, namun menurut masyarakat Iban, majlis perkahwinan digalakkan dipercepatkan untuk mengelak benda-benda yang tidak diingini daripada berlaku.
Seterusnya, majlis perkahwinan merupakan kemuncak kepada perjalanan satu pasangan teruna dan dara bagi menempuh ikatan perkahwinan yang sah dan beradat. Majlis perkahwinan bagi masyarakat Iban hendaklah diatur dengan penuh cermat kerana sekiranya pelanggaran adat berlaku, maka dipercayai bencana akan menimpa kepada pasangan pengantin yang baru berkahwin kelak. Pihak keluarga pengantin lelaki diwajibkan untuk menyediakan segala kos perbelanjaan perkahwinan. Pihak keluarga lelaki juga dikehendaki untuk menyediakan segala barangan yang harus diberikan kepada keluarga pengantin perempuan. Bagi pihak keluarga pengantin perempuan pula, mereka ditugaskan untuk menyediakan pelbagai persiapan majlis perkahwinan seperti binatang untuk disembelih pada hari perkahwinan. Bagi urusan mengundang tetamu, kedua-dua keluarga pengantin lelaki dan perempuan akan melantik wakil masing-masing untuk menguruskan jemputan perkahwinan. Wakil kedua-dua keluarga pengantin akan membawa beberapa utas tali bersimpul sewaktu mengunjungi rumah tetamu yang dijemput. Beberapa utas tali bersimpul ini melambangkan beberapa hari lagi majlis perkahwinan akan berlangsung. Contohnya, sekiranya tali itu mempunyai 5 simpulan bermakna majlis perkahwinan akan berlangsung dalam tempoh masa 5 hari. Wakil pengantin pada kebiasaannya akan memberikan tali bersimpul itu kepada tuai rumah yang bertanggungjawab untuk menghebohkan tentang majlis perkahwinan ini nanti kepada seluruh anak buah rumah panjangnya.
Semasa perkahwinan dilangsungkan, rombongan pengantin lelaki biasanya berarak ke rumah panjang pengantin perempuan dengan menaiki perahu yang dihiasi dengan kain puak kumbu sekiranya melalui jalan sungai. Jika rombongan ini menggunakan jalan darat sama ada berkenderaan atau berjalan kaki, rombongan pengantin lelaki akan memukul gong sepanjang perjalanan. Ini bertujuan untuk memeriahkan suasana perkahwinan serta memberitahu mereka yang disekeliling bahawa rombongan pengantin lelaki telah sampai. Sebaik sahaja rombongan pengantin lelaki telah sampai di hadapan rumah pengantin perempuan, tembakan meriam akan dilepaskan. Semasa bunyi tembakan meriam itu dilepaskan, ketua rombongan pengantin lelaki akan dijemput untuk menyembelih khinzir sebagai tanda penghormatan terhadap keluarga pengantin perempuan untuk menerima kedatangan rombongan pengantin lelaki. Di kepala tangga rumah panjang pengantin perempuan akan disediakan rangka yang berbentuk kota. Ketua rombongan pengantin lelaki terlebih dahulu terpaksa membuka rangka berbentuk kota ini yang diletakkan di kepala tangga, di tengah rumah dan di hujung rumah. Selepas itu, pengantin lelaki dan pengantin perempuan akan disatukan dan bermulalah upacara adat yang dilakukan oleh orang tua yang tertentu. Upacara ini dilakukan untuk memohon restu agar perkahwinan pasangan pengantin ini akan kekal sehingga ke hujung nyawa dan beroleh rezeki yang berlimpah ruah sepanjang mereka melayari bahtera penghidupan bergelar suami isteri.

Majlis Perkahwinan Kaum Iban

Pakaian yang dipakaian semasa perkahwinan

Pantang-Larang Kaum Iban Setiap kaum mempunyai pantang larangnya yang tersendiri. Bagi kaum iban, mereka mempunyai pantang larang yang unik dan ini membezakan kaum Iban dengan kaum lain. Antara pantang larang kaum Iban termasuk aktiviti pada hari keesokan perlu ditangguhkan dan miring akan dilakukan jika bermimpi buruk. Miring ialah jampi serapah dengan darah ayam atau babi direnjis di sekeliling mereka. Selain itu, dalam tempoh tujuh bulan sewaktu mengandung, wanita Iban dan suaminya dikenakan pelbagai pantang larang, antaranya seperti berikut: (a) Mereka dilarang menggali parit di kawasan padi atau di mana-mana sahaja, (b) Mereka dilarang memotong pokok yang menjalar di atas tanah, kerana dibimbangi akan menghalang pendarahan yang berterusan semasa melahirkan anak, (c) Wanita yang mengandung dilarang menuang minyak ke atas tapak tangan untuk disapu pada rambut bayi kerana dikhuatiri bayi yang bakal lahir akan bernanah, (d) Kedua suami isteri tidak boleh mengetuk telur menggunakan pisau atau kayu kerana dikhuatiri bayi itu akan cacat penglihatan, (e) Mereka tidak boleh menanam pokok pisang supaya si bayi tidak berkepala besar, (f) Mereka tidak boleh memikul batu-bata tajam di dalam raga kerana dikhuatiri bayi akan lumpuh, (g) Mereka tidak boleh membawa kura-kura ke dalam bilik supaya bayi tidak tersekat di dalam rahim semasa dilahirkan. Di samping itu, pantang larang lain yang dipercayai oleh masyarakat Iban adalah jika terserempak dengan binatang di atas dahan, itu merupakan antu rembia (roh menjaga pokok). Masyarakat Iban tidak dibenarkan membunuh binatang tersebut kerana dikhuatiri perkara kurang baik akan berlaku.

Kesimpulan

Kesimpulannya, laporan ini menghuraikan tentang latar belakang masyarakat Iban di Sarawak, khasnya tentang asal usul masyarakat Iban, penempatan masyarakat Iban, sistem bahasa, pakaian, makanan tradisional, perayaan, perkahwinan, pantang-larang, dan kegiatan ekonomi kaum Iban. Masyarakat Iban adalah penganut agama tradisi atau kepercayaan warisan yang dikenali sebagai ‘agama adat’ atau kepercayaan animisme. Mereka memuja banyak ‘Petara’ bagi menunaikan hajat. Barangan tembikar merupakan satu objek yang digunapakai bagi tujuan tersebut. Laporan ini menitik beratkan sejarah masyarakat Iban dan penempatan Iban.
Masyarakat Iban merupakan kumpulan etnik yang terbesar di Sarawak. Walaupun kebanyakan masyarakat Iban beragama Kristian, namun mereka masih mengekalkan nilai adat resam kaum Iban. Kaum Iban menetap di rumah panjang terletak di tebingan sungai untuk memudahkan aktiviti-aktiviti seharian. Masyarakat Iban juga menetap di bandar-bandar besar di sekitar Negeri Sarawak.
Melalui kajian yang dilaksanakan, banyak ilmu dan pengetahuan mengenai kaum Iban yang telah dipelajari. Kami dapat mengetahui serba sedikit mengenai adat resam dan budaya serta pantang larang yang masih diamalkan oleh kaum Iban. Selain itu, kami juga dapat mengkaji tentang adat perkahwinan dan bahasa kaum Iban yang sangat unik jika dibandingkan dengan kaum lain yang terdapat di Malaysia. Masyarakat Iban merupakan kumpulan etnik yang terbesar di Sarawak. Sesungguhnya, Malaysia kaya dengan etnik dan budaya yang menarik yang boleh dihargai oleh etnik yang lain.

Similar Documents